1. Kasih sayangnya menyerlah
Ibu yang sejati di dalam Islam akan memberi kasih sayang bukan saja dalam bentuk belaian dan kemanjaan tapi juga didikan. Di samping keperluan fizikal anaknya dipenuhi, keperluan rohani turut diisi. Kerana tingginya kasih sayang ibu ini, dia mengharapkan kejayaan yang berkekalan buat anaknya. Justeru anak itu dididik dan dibentuk peribadinya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. Anak itu milik Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah.
2. Prihatin dan ambil berat
Kadang-kadang anak sudah besar panjang pun, ibu masih prihatin, ambil berat dan ambil tahu tentang diri anaknya. "Ibu saya sampai sekarang, bila jumpa dia akan tanya, kamu dah solat ke belum," kata Hj. Mohd Hanim Mohd Tahir, seorang pakar motivasi.
3. Halus perasaan
Ibu yang sejati dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar 'bahasa badan' anaknya. Ibu juga dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu.
4. Suka beri nasihat
Sifat seorang ibu sejati, dia suka dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Oleh itu dia selalu menjadi kaunselor dan tempat rujuk anak-anaknya. Dalam kitab ada dinukilkan pesanan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan. Sifat suka memberi nasihat ini didorong oleh keinginan untuk melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidupnya.
5. Sangat sabar dan berlapang dada
Daripada wajah seorang ibu, sudah dapat dibaca sifat sabar dan lapang dadanya. Bukan dia tidak pernah marah tapi dia pandai dan mampu mengawal perasaan. "Mak saya bila anak-anaknya datang, dia layan semuanya dengan wajah dan senyum yang manis," cerita seorang teman mengenai ibunya yang berusia akhir 70-an. "Tak pernah dia tunjuk rasa tak senang atau marah. Walhal bukan tidak ada antara kami yang pernah mengecilkan hatinya. Bagi saya, itulah ibu sejati."
6. Lembut tapi tegas
Wataknya 'adjustable' . Di mana perlu berlembut, dia akan berlembut. Di mana perlu tegas dan tidak boleh beri muka, dia akan tunjukkan ketegasan. Namun waktu tegas, sifat kelembutannya masih terjaga. Dia tegas bila melibatkan soal disiplin, peraturan atau perintah Allah, tapi wataknya yang lembut tidak pula bertukar keras dan kasar.
7. Suka meraikan
Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu yang tinggi sifat keibuannya masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Bila anak balik bercuti misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak. Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.
8. Tidak pilih kasih
Tidak ada di kalangan anak-anak yang berasa dirinya kurang disayangi. Selain terhadap anak-anak sendiri, sifat menyama-ratakan kasih sayang ini dapat dilihat pada layanannya terhadap anak orang lain. "Anak orang lain macam anak dia juga," ungkap seorang kawan ketika bercerita tentang seorang makcik yang pernah ditemuinya. Menerusi kekuatan sifat keibuannya, seorang ibu dapat membentuk dan mencorak anak-anak di rumah, mencorak anak-anak didiknya di sekolah jika dia seorang guru, atau membentuk 'anak-anak' di pejabat jika dia seorang ketua pejabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan