Khamis, September 29, 2011
AKIBAT CINTA DUNIA
AKIBAT CINTA DUNIA
Cinta dunia ini boleh mengakibatkan beberapa hal. Di antara-nya ialah:
1. Dia sentiasa bertungkus-lumus memburu dunia sehingga tidak pernah memperhitungkan halal atau haram.
2. Hatinya sentiasa bimbang atau tidak tenang kalau-kalau dia tidak mendapat dunia yang diburunya itu.
3. Dia jadi manusia yang inferiority complex atau hina diri dengan manusia yang berada bilamana dunia itu tidak dapat dimilikinya.
4. Kalau dia memiliki dunia itu, bimbang pula kalau-kalau hilang atau berkurangan daripada tangannya. Bimbang dibinasakan oleh bencana alam atau dicuri oleh manusia dan sebagainya.
5. Kalau dia lihat ada orang lain dapat lebih darinya, dia akan susah hati. Dia akan berusaha mencari lagi untuk mengatasi orang itu dengan apa cara pun, selain merasa hasad dengki terhadap orang itu.
6. Dia jadi orang yang berangan-angan untuk sentiasa menokok tambah lagi dunia yang telah sedia ada dan fikiran serta usaha-usahanya sentiasa ke arah itu.
7. Dia akan jadi orang yang tamak dan rakus.
8. Kalau dia memiliki dunia, dia akan jadi manusia yang sombong dan boleh jadi kejam.
9. Walaupun niatnya untuk mencari kebahagiaan atau ketenangan tetapi badan, hati dan fikiran tidak kenal rehat, tidak ada ketenangan dan kebahagiaan lagi.
10. Ia tidak akan tunaikan kewajipan dengan dunia yang dimilikinya. Umpamanya, jika dia dapat pangkat atau jawatan dia akan jadikan itu semua untuk kepentingan diri peribadinya lebih daripada Allah SWT dan dari berbakti kepada masyarakat.
11. Kalau dia orang yang berharta, ia tidak akan keluarkan zakat yang menjadi kewajipannya. Apatah lagi kewajipan yang aradhi dan untuk bersedekah.
12. Ia tidak akan tunaikan kewajipan yang aradhi (mendatang). Contoh, orang yang susah tidak dibantunya. Kalau negaranya menghadapi perang, bencana atau kesusahan, dia tidak akan memberi bantuan.
13. Akan timbul pecah belah dan hilang kasih sayang dan persaudaraan kerana sombong dengan dunia dan kepentingan diri sendiri.
14. Manusia akan membencinya. Apatah lagi Allah. Sebab itu sebuah Hadis Rasulullah SAW menyeru:
“Hendaklah kamu zuhud dengan apa yang ada di dunia nescaya kamu akan dicintai Allah. Hendaklah kamu berzuhud dari apa yang ada pada manusia nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.” Riwayat Ibnu Majah)
15. Ia akan jadi perosak masyarakat. Kerana hendakkan dunia, dia sanggup menipu, menyogok, rasuah, makan riba, beli undi, beli ijazah, beli kertas periksa, beli perempuan atau lelaki dan lain-lain lagi.
16. Kalau dia berjawatan pemerintah, mungkin dia jadi diktator, kejam, zalim, yang sanggup menjatuhkan lawan dengan menaburkan wang untuk mempertahankan kedudukannya, menghina dan memfitnah orang demi mempertahankan jawatan atau kerana inginkan jawatan itu.
17. Timbullah huru-hara, haru-biru, kucar-kacir, demontrasi atau mungkin juga peperangan di tengah-tengah masyarakat.
Demikianlah buruknya akibat cinta dunia ini. Maka berlakulah kemuncak kerosakan di kalangan umat Islam di akhir zaman ini. Hatta tidak berpadunya mereka kerana inilah. Hingga mereka menjadi lemah dan binasa.
Rasulullah sendiri pernah berpesan: “Akan tiba ketikanya kamu akan dikeronyok oleh musuh-musuh sebagaimana orang-orang yang berebut untuk makan suatu hidangan.” Para Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu jumlah kami sedikit, ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak, bahkan jumlah kamu ketika itu ramai sekali tetapi seperti buih-buih ketika air bah, sedang kamu ditimpa penyakit wahan.” Mereka bertanya lagi:
“Apakah penyakit wahan itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kecintaan kepada dunia dan takut mati.”
(Riwayat Abu Daud) Bahkan cinta dunia inilah yang menimbulkan seribu satu macam penyakit masyarakat. Sebab itu Rasulullah mengingatkan kita: “Cinta dunia kepala segala kejahatan.”
(Riwayat Al Baihaqi)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan